Thursday, July 3, 2008

Nota Lisan 1 :

ISU PEMANASAN BUMI / PEMULIHARAAN ALAM


Hampir segala keperluan asas seharian kita datang daripada sumber bumi; air yang kita minum, udara yang kita hembus, makanan seharian kita, semua merupakan hasil sumber bumi. Dan bumi ini merupakan planet tunggal yang sesuai untuk kehidupan manusia.

Dewasa kini, isu pemanasan sejagat atau ‘global warming’ semakin mendapat perhatian dunia. Ia dibincangkan di pelbagai lapisan dan oleh banyak pihak. Ini memandangkan kesan-kesan pencemaran bumi semakin jelas kelihatan.

Contohnya penghasilan gas karbon yang banyak, telah menyebabkan iklim bumi semakin panas dan tidak menentu. Ini akhirnya mengakibatkan malapetaka yang berlaku seperti banjir, kemarau dan ribut taufan yang menjejas kehidupan seharian serta ekonomi negara.

Penebangan pokok-pokok dan penipisan hutan juga menyumbang kepada pencemaran alam disamping menyebabkan udara menjadi semakin tidak segar. Ini adalah kerana, pokok-pokoklah yang menyedut gas karbon dioksida dan membantu mengeluarkan udara segar oksigen untuk pernafasan kita.

Ternyata pencemaran bumi bukan hanya akan menjejas kesihatan diri tetapi juga kestabilan ekonomi dan keselamatan tempat tinggal kita.

Untuk menangani masalah ini, banyak persidangan telah diadakan baik di rantau ini ataupun di peringkat antarabangsa untuk membincangkan cara-cara menangani isu pencemaran ini. Sekatan-sekatan tertentu juga telah dikenakan terhadap setiap negara untuk mengawal had pelepasan gas berbahaya.

Namun, biarpun sekatan-sekatan itu telah dikuatkuasakan, cara paling berkesan untuk menangani masalah pemanasan sejagat ini adalah dengan setiap daripada kita sebagai individu dunia menyumbang melalui amalan harian kita kepada usaha untuk memelihara bumi serta mengurangkan pencemaran di udara, darat ataupun laut.

Perkara pertama kita boleh memelihara sumber darat. Sebagai contoh mengurangkan pembuangan sisa melalui kitar-semula dan mengurangkan penggunaan beg plastik. Sejauh mungkin gunakan beg yang boleh digunapakai semula untuk membawa barangan ke pasar atau sebagainya. Dan di tempat kerja seberapa boleh kurangkan penggunaan kertas dan elakkan dari mengguna kertas bersaiz besar untuk maklumat yang sedikit.

Perkara kedua adalah dengan memelihara sumber air melalui beberapa langkah seperti menjimatkan penggunaan air sejauh yang mungkin. Contohnya, kita boleh memaksimumkan cucian mesin basuh kita, memastikan tekanan paip air di rumah ataupun pejabat dijaga. Dan dalam menggunakan air untuk berwudhuk sebaiknya kita menggunakan air yang sekadarnya.

Dan perkara ketiga adalah dengan memelihara kebersihan udara melalui pengurangan bahan pembakar dan menggunakan perkakas jimat tenaga di dalam rumah kita. Apabila kita tidak menggunakan alat elektrik di rumah pastikan semua suis yang tidak digunakan dimatikan.

Baru-baru ini, di dada-dada akhbar melaporkan mengenai usaha untuk menangani isu pemanasan sejagat. Antaranya ialah lebih 1000 pemilik rumah telah mengambil langkah-langkah untuk menjadikan rumah mereka mesra alam. Dengan mengambil langkah mengurangkan penggunaan elektrik dan air.

Bahkan usaha-usaha ini bukan baru. Banyak usaha telah dilakukan seperti pembersihan persekitaran pantai, usaha kitar semula dan banyak lagi. Usaha sedemikian harus terus dipelopori dan disokong oleh masyarakat Islam Singapura.

(dipetik dan diubah suai daripada Khutbah Jumaat 8 Jun 2008)


Oleh Cikgu Zaetun Abbas
Sekolah Menengah Sembawang

No comments: